Isnin, 11 Februari 2019

10 perkara perlu dikumpul untuk menjadi usahawan

10 perkara yang perlu dikumpul untuk menjadi usahawan berjaya
By Shubhi | 18/11/2013

Menjadi usahawan berjaya seumpama melatih diri menyertai pertandingan Marathon
Menjadi usahawan yang berjaya ataupun untuk membina sebuah perniagaan yang berjaya adalah satu perjalanan yang jauh. Jika diumpamakan sebagai satu aktiviti sukan, ia seumpama menyertai satu pertandingan marathon larian sejauh 20 kilometer.
Bayangkan jika anda berazam untuk turut serta dalam pertandinagn marathon larian sejauh 20 kilometer, apakah percediaan yang perlu dilakukan?
Yang paling mustahak sekali, anda perlu tahu bahawa sebelum menyertainya, latihan yang panjang perlu dimulakan terlebih dahulu bagi mengumpul stamina dan kekuatan serta pengalaman berlari tanpa henti dalam jarak jauh.
Itu adalah perkara asas yang tanpanya, anda sengaja mencari masalah jika mengambil bahagian terus dalam pertandingan marathon itu. Jika tidak pengsan, anda hanya akanmembuang masa berlari sekerat jalan dan memalukan diri sendiri sahaja.
Dalam berusaha berlatih dengan bersungguh-sungguh bagi menyertai pertandingan marathon itu, belum pasti anda akan menang atau berada di kedudukan 10 teratas. Berkemungkinan pula anda perlu turut serta dalam lebih banyak pertandingan lain sebelum mula mengecapi kejayaan.
Perjalanan mengumpulkan perkara penting untuk berjaya lebih penting daripada kejayaan itu sendiri

Jika anda faham perumpamaan yang saya berikan di atas, anda tentu nampak bahawa kejayaan sebenarnya adalah proses membina dan mempersiapkan diri untuk mencapai matlamat, dan bukannya matlamat itu sendiri.
Justeru itu kejayaan untuk menjadi usahawan berjaya, atau membina sebuah perniagaan yang berjaya sebenarnya adalah perjalanan membina kekuatan dan menambah pengetahuan yang tak pernah habis, samada matlamat tercapai atau tidak sudah tidak sebegitu penting berbanding dengan perjalanan atau proses itu sendiri.
Anda tak perlu risau mendengar pendapat yang saya berikan di atas kerana merasakan untuk menjadi usahawan berjaya adalah sesuatu yang sukar. Sebenarnya, mereka yang telah melaluinya hampir kesemuanya menemui kepuasan dan keseronokkan sepanjang perjalanan.

Kesukaran yang dirasakan sekarang akan sirna hilang entah kemana sebaik saja anda memulakan perjalanan itu dan menikmati perubahan demi perubahan yang berlaku saban hari dan saban tahun. Percayalah cakap saya dan tanyalah pada usahawan lain kalau tak percaya.
Apakah yang perlu dikumpulkan untuk menjadi usahawan berjaya
Untuk tidak memanjangkan entri ini dan menjadikannya membosankan, saya teruskan kepada perkara asas yang perlu anda kumpulkan sepanjang perjalanan menjadi usahawan berjaya:
1.    Ilmu – Menjadi usahawan berjaya memang susah, ianya menjadi lebih susah seandainya anda bodoh. Oleh itu kumpulkan ilmu sebanyak mungkin yang mampu digunakan untuk melaksanakan apa yang anda mahu lakukan. Tak ada alasan sekarang ini untuk mendapatkan ilmu dengan mudah. Paling baik adalah dengan jadikan tabiaat membaca sebagai darah daging. Baca buku, baca internet dan belajar daripada sesiapa saja asalkan ianya perkara baru yang bermanfaat.

2.    Semangat – Walaupun dengan ilmu setinggi mana, tanpa semangat yang tinggi, anda tak akan kemana. Buatlah apa saja untuk membina semangat. Sertai program untuk mengaktifkan diri samada berbayar atau percuma. Lebihkan bergerak dan penuhi masa anda dengan aktiviti positif untuk membina semangat. Orang yang tidak aktif dan tidak bergerak secara automatik membunuh semangat diri.

3.    Kesabaran – Semangat yang besar mana sekalipun jika tidak disertakan dengan kesabaran akan hancur berkecai. Melatih kesabaran dapat dilaksanakan dengan mengambil sikap menghabiskan apa saja yang dilakukan. Tamatkan apa saja yang anda telah mulakan dan jangan berhenti sekerat jalan. Ingat! apa saja bermakna tidak semestinya urusan perniagaan sahaja. Anda tak akan tahu tahap kesabaran selagi tidak mencampak diri dalam ujian. Sabar bukan ada hanya di mulut, tetapi di dalam segala tindakan kita meneruskan perjalanan tanpa henti.

4.    Kepercayaan – Tanpa kepercayaan, semangat tinggi dan kesabaran akan mati. Dengan menambah maklumat dari pembacaan dan mendengar serta melihat kejayaan orang lain akan membina kepercayaan. Oleh itu bina data pekercayaan sebanyak mungkin dalam minda selagi hayat dikandung badan.

5.    Kawan – Ramai yang tak sedar dengan kelebihan berkawan. Tambah lagi dalam suasana desakan kehidupan zaman moden ini, ramai yang mengambil sikap meminggirkan aktiviti berkawan. Kawan adalah antara perkara penting yang perlu ada pada semua usahawan. Dengan kawan kita kogsikan masalah, kejayaan, peluang dan lain-lain lagi. Kawan yang baik tidak pernah mengharapkan balasan. Kawan yang baik sentiasa memberikan ilmu, semangat, dan kepercayaan yang kita perlukan untuk berjaya.

6.    Kenalan – Dari kenalan kita bina kumpulan kawan baru. Usahawan perlu buang sikap malu dan malas untuk berkenalan. Jangan terus harap bantuan dari kenalan baru kerana tujuan berkenalan adalah untuk berkawan. Pastikan aktiviti berkenalan tidak putus kerana untuk mendapatkan hasil yang lebih baik dari sekarang kita perlukan kenalan yang lebih baik daripada yang telah ada.
7.    Modal – Selain dari wang, kemahiran adalah modal yang jauh lebih bernilai daripada wang ringgit. Malah dengan kemahiran modal akan datang bergolek di depan mata.

8.    Idea – Idea tak akan datang jika otak tidak digunakan untuk berfikir secara kritis. Luangkan masa berfikir secara sistematik dengan menggunakan pen dan kertas. Aktiviti berfikir perlu menjadi rutin usahawan sekurang-kurang sejam setiap hari.

9.    Kegagalan – Kegagalan bukan penamat. Kegagalan hanyalah satu keputusan untuk menilai kaedah yang telah digunakan sebelum ini untuk pedoman di masa hadapan. Orang yang tidak pernah gagal sebenarnya tidak pernah melakukan apa-apa. Lebih banyak orang belajar dari kegagalan daripada kejayaan. Oleh itu bersedia untuk menerima kegagalan dan terus mencuba dengan kaedah yang berbeza.

10.  Kejayaan kecil – Kejayaan kecil perlu dikumpul sepanjang masa. Jangan pandang remeh akan semua kejayaan yang sekecil-kecilnya sekalipun ianya hanyalah sekadar berjaya membantu mengambil pen orang yang terjatuh. Raikan kejayaan kecil kerana ia membina rekod kepuasan dan keazaman untuk terus berjaya.

Apa yang saya senaraikan di atas bukanlah perkara yang hebat-hebat. Anda tak perlu keluar dari Harvard untuk memahami semua yang tersenarai diatas tadi.
Tetapi jika istiqamah dan dilakukan secara berdisiplin dan sistematik, ia bakal menghasilkan satu kehabatan yang mengkagumkan. Semua perkara hebat samada seni, inovasi dan seumpamanya adalah hasil daripada himpunan perkara-perkara kecil di atas yang dilakukan secara konsisten dan dalam masa yang panjang.
Oleh itu, setiap kali anda lihat mereka yang berada di puncak kejayaan, jangan lihat kedudukan mereka di waktu itu, bayangkanlah himpunan perkara-perkara kecil yang telah dilaluinya yang kebiasannya adalah himpunan dari kesemua yang saya senaraikan di atas.
Moga ini menjadi motivasi untuk saya dan anda yang membaca untuk menikmati perjalanan yang panjang ini dalam membentuk diri kita menjadi usahawan yang berjaya. Jangan lupa sertai Forum HR dengan membuat Pendaftaran segera untuk menjadi ahli Forum. Bersama kita bergerak perlahan-lahan membina rangkaian usahawan berjaya. Insyaallah!!! 

Kredit: Blog Shubhi Tahun 2013


Tiada ulasan:

Catat Ulasan