Mengapa pelanggan tak mahu beli dari anda?
Dalam perniagaan pastinya perlu menjual produk atau perkhidmatan. Kalau tak
menjual, bagaimana pula hendak mendapat keuntungan. Namun apa yang kita jual,
adakalanya tidak dibeli oleh pelanggan. Tambahan pula bagi mereka yang lebih
banyak mendapat ‘rejection’ dari pelanggan berbanding dengan belian pastinya
satu pengalaman berniaga yang amat menjatuhkan semangat kita.
Amat sukar menjalankan perniagaan bila ramai yang tidak mahu membeli
dari kita tak kira apa yang kita jual. Berikut adalah 3 sebab mengapa kita tidak
mendapat jualan dan bagaimana menanganinya.
1. Mereka tak perlukan apa yang anda jual!
Pastikan apabila menjual, anda mendapat sasaran pasaran yang
betul. Menjual sesuatu kepada mereka yang tidak memerlukan produk atau
perkhidmatan anda adalah sekadar buang masa. Bukan sahaja itu, kalau
dipaksa-paksa beli juga, dan nanti mereka tidak menggunakan produk atau
perkhidmatan anda, nanti lebih tinggi aduan dan pelanggan yang tidak berpuas
hati.
Ingat bahawa tidak semua orang memerlukan produk atau perkhidmatan anda.
Tidak kira betapa hebat produk dan perkhidmatan yang kita tawarkan, sekiranya
ianya tidak diperlukan, maka mereka tidak akan membeli juga. Fahami
bahawa dalam perniagaan, JAUH LEBIH RAMAI orang yang tidak memerlukan apa yang
anda jual berbanding dengan mereka yang memerlukan.
Tugas anda sebagai usahawan yang hebat adalah mencari sasaran pasaran yang paling tepat sekali yang memerlukan apa yang anda tawarkan. Kemudian, keputusan membeli semakin mudah…
2. Mereka takut keputusan yang salah!
Pernah tak terlihat keadaan ini. Mungkin juga anda mengalaminya sendiri.
Apabila seorang jurujual cuba menjual sesuatu, kemudian prospek tersebut memberi
alasan
“Nanti saya perlu tanya pada isteri (atau suami) terlebih dahulu”
Pastinya pernah bukan? Kalau tidak seperti diatas pun, pastinya ada juga
alasan lain yang menunda-nundakan belian.
Keadaan ini berlaku kerana mereka takut keputusan belian mereka adalah
keputusan yang salah dan memerlukan pandangan pasangan atau orang lain. Perkara
ini sering terjadi mungkin kerana pengalaman mereka sebelum ini dalam membuat
keputusan belian yang salah. Fahami perasaan prospek anda dan cuba cari
dengan bertanyakan soalan apa yang membuatkan mereka tidak membeli atau
menundakan belian.
Dengan mengetahui apa masalah atau isu yang dihadapi, lebih mudah anda sebagai usahawan dapat membantu dalam merungkaikan ketakutan itu. Caranya adalah dengan bertanya!
3. Mereka tidak yakin dan percaya pada anda!
Keyakinan dan kepercayaan perlu dibina. Lebih-lebih lagi sekiranya
produk dan perkhidmatan anda berharga tinggi. Adakah anda akan membeli
sesuatu barangan yang murah dari seseorang yang anda tidak percayai? Pastinya
TIDAK. Apatah lagi barangan yang mahal.
Kepercayaan dan keyakinan orang ramai pada hari ini sukar untuk dibina dengan
hanya mengiklankan perniagaan anda. Membuat iklan sana sini boleh mendedahkan
perniagaan anda kepada orang ramai. Tetapi, oleh kerana terlalu banyak iklan
kini, pengiklanan masih belum dapat menjanjikan kepercayaan dan kredibiliti
pelanggan.
Apa yang penting untuk usahawan adalan membina hubungan bersama prospek.
Soalan mudah. Adakah anda lebih mudah membeli dari rakan anda produk X atau anda
lebih mudah membeli dari seseorang yang baru sahaja anda temui?
Tentunya lebih mudah membeli dari seorang rakan oleh kerana
kepercayaan dan kredibiliti telah dibina mungkin beberapa lamanya.
Dalam perniagaan zaman ini, gunakan media sosial untuk membina hubungan dengan prospek dan orang ramai. Hubungan ini akan menciptakan kepercayaan dan kredibiliti untuk memudahkan pelanggan membeli dari anda!
Kredit: http://www.irfankhairi.com/blog/perniagaan/mengapa-pelanggan-tak-mahu-beli-dari-anda/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan