DATO’VIDA
Disebalik Kisah Kejayaan Pengasas QU PUTEH Yang
Ramai Orang Belum Tahu
Dikenali
seluruh Malaysia dengan tagline, 'Qu Puteh, Barulah Putih!', ikuti temubual
Hasmiza bersama wartawan Malaysia Gazette yang bakal menceritakan kisah
kejayaan beliau.
Jangkaan
mengenai personaliti wanita ini yang kurang peramah agak tersasar jauh.
Ditambah
pula dalam gemerlapan populariti yang dilimpahinya bukan sedikit, Datuk Seri
Dr. Hasmiza Othman melangkaui apa yang disangkakan pada awal pertemuan.
Sebelum
ini, nama wanita berusia 43 tahun ini asyik disebut-sebut. Gara-gara melabur
RM3 juta untuk menaja Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29), impak produknya, Qu
Puteh menjadi fenomena yang luar biasa.
Hasmiza
yang popular dengan gelaran Datuk Vida itu tidak dapat lari daripada menjadi
kutukan segelintir masyarakat apabila dia dituduh gila glamor apabila mengiklan
diri dan produknya secara berlebihan ketika siaran langsung AJL29.
Apatah
lagi dengan tanggapan suka menunjukkan kemewahan barang kemas dan baju mahal,
Ketua Pegawai Eksekutif, Vida Beauty Sdn. Bhd. ibarat tidak bernyawa apabila
diserang dari kanan dan kiri.
"Memang
susah buat saya kerana gaya hidup saya sangat bertentangan dengan anggapan
orang ramai dan apa yang mereka lihat di kaca tv.
"Saya
sebenarnya seorang yang sederhana di rumah dan di pejabat. Saya bukan suka
sangat nak pakai baju manik merlip dan muncul dengan penampilan sebegitu.
"Semuanya
saya lakukan kerana identiti untuk produk saya dipromosi. Saya kena ada
kelainan penampilan, baru orang ingat jenama produk saya," katanya
tersenyum manis.
Kata
ibu kepada empat anak ini, dia sebenarnya tidak kisah untuk membeli apa jua
barang walaupun tidak berjenama asalkan ia nampak cantik dan sedap mata
memandang.
"Saya
juga jenis tidak kisah makan di mana-mana. Gerai bawah pokok saya pergi
hari-hari kalau sudah sedap. Pernah saya ketagih sangat dengan nasi vanggey.
"Buat
apa nak malu. Saya pun tidak obses dengan kereta sport mewah. Cukup sebuah
kereta yang selesa untuk saya berjalan jauh dan dapat berehat dan tidur
sekejap," katanya bersungguh-sungguh dalam nada yang penuh teruja ketika
ditemui ibu pejabat Vida Beauty di Ipoh, Perak baru-baru ini.
Menyambung
perbualan yang semakin rancak, Hasmiza memberitahu kesukaran hidupnya melalui
pelbagai pahit getir untuk berada pada tahap hari ini mengajarnya untuk tidak
meninggi diri.
Wanita
kelahiran Machang, Kelantan ini jujur mengakui dia lahir dalam keluarga berada
sebelum menjadi anak yatim pada usia sembilan tahun kerana kematian bapa.
"Saya
dan ibu hilang punca rezeki ketika itu secara tiba-tiba. Jadi bermula dari
situ, saya mengenal apa itu bisnes. Asal yang boleh dapat wang saku, saya buat.
"Saya
pernah jual nasi lemak orang, untung dapat 30 sen. Saya bersyukur sangat duit
itu saya lama-lama kumpul dapat beli motosikal.
"Ini
kerana saya selalu fikir saya bila hendak sekolah naik bas ketika di sekolah
menengah waktu itu," katanya yang bersemangat bercerita tentang kisah
zaman persekolahannya.
Jelasnya,
lebih menyedihkan apabila ibunya terpaksa menjual sebidang tanah untuk menyara
kos perbelanjaannya di Universiti Sains Malaysia.
Kata anak tunggal dalam keluarga itu,
harga tanah itu dijual pada harga RM13,000 dan hari ini harga tanah itu
melambung kepada RM150,000.
"Tapi baru tahun pertama saya
sudah habis RM5,000. Bayar yuran, beli buku dan sara kos sara hidup. Jadi saya
mula berfikir kena cari duit saku.
"Saya mula jual macam-macam
kepada pensyarah dan kakitangan universiti. Saya bawa kain telekung, batik dan
macam-macam barang lagi dari Kelantan.
"Pernah waktu cuti semester,
saya pergi kerja kilang selain kerja sambilan di restoran segera, Kentucky
Fried Chicken," katanya yang tidak malu untuk mencari duit bagi menampung
kos pelajarannya.
Sebagai pemegang Sarjana Muda
Pendidikan (Kesusasteran Melayu dan Sejarah), Hasmiza turut tampil berkongsi
pengalaman menjadi guru di sekolah Cina selama 12 tahun di Ipoh, Perak.
"Orang cakap kalau jadi cikgu
tidak boleh meniaga, saya gelisah waktu itu. Saya memang boleh demam kalau
tidak berniaga. Jadi tahun pertama jadi guru, saya sambung buat Sarjana dahulu
sebelum meneruskan pengajian Doktor Falsafah secara jarak jauh," katanya
rancak bercerita.
Seterusnya, akibat jiwanya
memberontak mencuba karier yang lebih mencabar, Hasmiza memilih perniagaan
salon sebagai destinasi kerjaya pilihan.
Dari situlah dia mula membuat
pelbagai produk kecantikan bagi memenuhi keperluan pelanggan di salon bagi
rawatan wajah.
Apatah
lagi, ketika itu kira-kira 15 tahun yang lalu, gelombang produk kecantikan dari
luar mendapat permintaan tinggi menyebabkan dia berani menghasilkan produk
kecantikan sendiri secara kecilan.
Seterusnya,
rezeki berpihak kepada dirinya apabila mula mengorak langkah panjang dalam
kariernya dengan menjadi tenaga pengajar di Majlis Latihan Vokasional
Kebangsaan (MVLK).
Mendapat
wang tertunggak sebanyak RM500,000, dia memberani diri membeli iklan untuk
mempromosi produknya itu.
Namun
akhirnya akibat salah mengiklan, dia mengalami kerugian besar apabila produk
langsung tidak mendapat sambutan.
"Rasanya
sudah berjuta saya rugi akibat menaja dan buat iklan yang tidak menjadi. Sebab
itu bila saya nak taja AJL29 dan Gegar Vaganza, saya sudah tekad, stesen tv
kena ikut cara saya.
"Saya
yang bagi idea semua sebab saya sudah belajar dari kesilapan lalu. Biasanya
saya berdoa tidak kira waktu dan tempat sebanyak 20 kali sehari. Tapi waktu
taja AJL29, saya berdoa lebih 50 kali. Saya reda dan tawakal.
"Dan
Alhamdulillah, iklan saya menjadi dan jadi sebutan ramai. Permintaan dan jualan
melonjak hari-hari sampai saya kehabisan stok dan terpaksa mengagihkan produk
kepada stokis secara kuota," katanya serius.
Vida
Beauty kini memiliki lebih 400 stokis di seluruh negara termasuk di Brunei dan
Singapura dengan menggajikan kakitangan seramai 130 orang.
Tujuh
tahun lalu, bisnes Hasmiza melonjak tinggi gara-gara keberanian memperkenakan
minuman kesihatan di bawah jenama Pamoga.
Produk
yang menjadi fenomena itu membolehkan dia berubah sekelip mata menjadi jutawan
sehingga mampu membina Wisma Vida Beauty yang tersergam indah dan mewah di
bandar Ipoh.
Apabila
ditanya hasil di sebalik semua kejayaan itu, wajah wanita yang nampak tegas
namun peramah itu tiba-tiba menjadi sangat ceria.
Katanya,
dia gembira dan bersyukur kerana dapat membantu masyarakat yang mengalami
masalah kesihatan untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
"Sebanyak
98 peratus testimoni Pamoga kembali pulih seperti biasa dan yang buat saya
gembira, apabila mereka dapat kembali bersolat dengan sempurna dan ada yang
tidak perlu dijaga lagi oleh anak-anak setelah sakit sekian lama.
"Selain
itu, saya juga mahu kejayaan di dunia dan akhirat. Berkongsi rezeki dengan
mereka yang kurang berkemampuan, itu yang lebih memberi kepuasan," katanya
yang malu-malu bercerita tentang sekolah pondok miliknya selain kesanggupannya
menaja beberapa rumah anak yatim dan sekolah tahfiz.
Emosi
sedih Hamza semakin larut apabila diminta berkongsi kenangan pahit sepanjang 15
tahun bergelar usahawan berjaya.
Wanita
ini berkata, kehidupannya bagaikan musnah apabila hilang dua anak yang
meninggal dunia dalam kebakaran di rumah pekerja syarikat pada 5 Ogos 2013.
Lebih
menyayat hati, dua anaknya Eddie Zuhdi, 11, dan Edrie Zikri, 10, pergi mengadap
Ilahi pada 25 Ramadan, lima hari sebelum umat Islam menyambut 1 Syawal.
Dua
lagi anaknya, Edlin Zamilin dan Eric Zaquan yang kini berusia 10 dan lapan
tahun menjadi penyeri hidupnya untuk mengusung sisa duka yang belum hilang ke
hari ini.
Bercerita
mengenai arwah dua puteranya itu, naluri keibuan wanita ini cukup terserlah.
"Dua
arwah anak saya itu hendak sangat berjumpa malam lailatulqatur dan selalu doa
nak masuk syurga tertinggi. Saya menangis 40 hari dan bertahlil di ruang tempat
mereka tidur.
"Namun
saya sudah ada isyarat sebelum kejadian itu kerana suka bermurung. Bila saya
terima berita, saya cuma terdiam dan reda. Ada orang cakap ini saham untuk saya
di akhirat nanti," katanya sayu.katanya sayu.
Di
akhir wawancara ini, nada suara Hasmiza kembali serius apabila dia berkongsi
pengalaman bergelar ibu tunggal.
Berkahwin
kali ketiga pada Oktober tahun lalu, jelas ada gerimis yang bertandang di wajah
wanita ini biarpun bibir sentiasa menguntum senyuman.
Kurang
selesa bercerita hal peribadi, barangkali ramai yang tidak tahu Hasmiza
bergelar ibu tunggal selama lapan tahun sebelum berkahwin kali kedua Januari
tahun lalu.
Derita
yang dia tidak tahu kepada siapa boleh diluahkan apabila diceraikan selepas
tiga bulan mengecapi alam perkahwinan.
Barangkali
air mata wanita ini sudah kering untuk ditangisi. Dia sudah puas menanggung
derita sebelum berada di puncak pada hari.
Justeru,
kata nista yang dilempar gara-gara menaja AJL29 langsung tidak meninggalkan
kudis buat dirinya.
"Saya
cuma berharap dapat memberi sumbangan yang cukup kepada mereka yang kurang
bernasib baik.
"Kehilangan
dua anak membuatkan saya hendak kaya dan bahagia di dunia dan akhirat. Itulah
yang saya perjuangkan hari ini dalam perniagaan," luahnya yang
melengkapkan pandangan sebagai seorang wanita yang istimewa di mata saya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan