Isnin, 11 Februari 2019

Cabaran menjadi usahawan

Cabaran apabila anda memilih menjadi usahawan
By Shubhi | 29/07/2015

Apa sebenarnya cabaran jadi usahawan ?
Sebenarnya cabaran jadi usahawan jauh lebih teruk daripada yang anda gambarkan, berbanding keseronokan jadi usahawan.
Bagi orang yang belum pernah menjadi usahawan, segala andaiannya terhadap kehidupan sebagai seorang usahawan adalah terlalu jauh berbeza berbanding realitinya.
Segala pandangannya hanya berkisar secara dasar sahaja. Atau lebih tepat lagi hanya secara luaran.
Macam batu kecil yang kelihatan timbul pada permukaan laut, itulah yang mampu dia nampak. Tapi hakikatnya bila dia mula menyelami masuk ke bawah muka air, baru nampak betapa besarnya saiz batu kecil dilihatnya di permukaan tadi.
Dan orang yang menyelami masuk ke bawah permukaan dunia keusahawanan itu hanyalah seorang usahawan yang telah nekad berhenti kerja dan berniaga.
Bila dah jadi usahawan, barulah dia akan sedar betapa hebatnya cabaran jadi usahawan.
Cabaran jadi usahawan – pengalaman saya
Mungkin para pembaca yang sering masuk ke blog ini dan sering membaca segala tulisan saya akan beranggapan segalanya macam mudah sahaja buat saya.
Kalau saya kongsikan segala cabaran jadi usahawan dalam artikel, buat anda yang belum berniaga, masih tidak akan dapat membuat gambaran sebenar yang betul terhadap kegetiran masalah yang saya bentangkan.
Bagi yang dah berniaga pula tentu akan dapat bayangkan serba sedikit apa yang cuba saya nyatakan dalam semua tulisan saya.
Semua bergantung kepada pengalaman hidup yang telah mereka lalui sebelum ini. Seseorang itu hanya mampu membuat gambaran berdasarkan apa yang pernah dilaluinya saja dan tidak lebih dari itu.
Perjalanan saya mengharungi jalan yang saya pilih sebagai seorang usahawan sebenarnya penuh dengan ranjau dan duri.
Adakalanya hujan, adakalanya ribut, adakalanya panas terang dan adakalanya nyaman. Berapa kali hati saya hampir remuk dan bertungkus lumus untuk membaikinya hanya Tuhan saja yang tahu.
Disaat itu tiada siapa lagi yang dapat saya adukan bebanan, melainkan hanya padaNya. Sebab itu setiap kali keadaan nyaman dan tenang datang, saya khuatir ianya hanyalah sementara, saya khuatir saya akan mudah lupa lalu leka.
Sebab saya tahu betapa beratnya cabaran jadi usahawan, maka saya lebih cenderung untuk berikan amaran awal pada orang baru. Supaya mereka tidak leka dan berjaga-jaga ingatkan diri agar tidak putus asa.
Cabaran jadi usahawan dalam bab rakan niaga
Macam yang saya sering ceritakan dalam artikel-artikel yang lalu, saya benar-benar gunakan apa yang ada untuk merealisasikan apa yang saya mahu bina.
Memang benar saya akan menggunakan bantuan insan-insan lain untuk menjayakan perancangan, tapi tidak sesekali ia digunakan secara percuma.
Segala bantuan akan dibalas dengan ganjaran yang saya rasa setimpal ketika itu. Dasar saya adalah untuk sentiasa pastikan situasi menang-menang.
Tapi lumrah manusia, mereka akan melihat lebih jauh daripada apa yang mereka dapat. Majoriti orang akan mendakwa segala hasil yang didapati adalah hasil dari sumbangan mereka.
Itu lumrah kebanyakan orang akan melihat sumbangannya tanpa melihat sumbangan orang lain.
Daripada pembacaan kajian yang dilakukan oleh Dan Ariely, saya faham itu adalah lumrah makhluk yang bernama manusia.
Kita akan membesarkan apa saja sumbangan kita jauh lebih besar daripada hakikat sebenarnya. Kita akan melupakan bahawa masa mula dahulu sudah tak sama dengan masa yang sedang dihadapi. Perbandingan sudah jauh tersasar.
Oleh kerana seorang usahawan tidak dapat bergerak melainkan dengan bantuan manusia lain yang mungkin menjadi rakan niaga anda secara terikat atau tidak, anda mesti sedar akan hakikat ini terlebih dahulu.
Pastikan anda fahami dengan sikap manusia yang sentiasa ‘over value’ segala sumbangannya bila kejayaan dikecapi sebelum buat apa-apa perjanjian dan keputusan.
Cabaran jadi usahawan
Samada anda lulusan Havard atau hanya lulus Sekolah Pondok saja, anda tetap akan lalui perkara-perkara berikut bila dah jadi usahawan dan menjalankan perniagaan.
Saya juga melalui perkara yang sama tenggelam timbul macam semua usahawan lain yang normal macam saya.
Saya bukan insan pilihan, macam yang sesetengah orang anggap ada pada para usahawan. Saya hanyalah seorang insan yang nekad buat keputusan secara sedar untuk memilih jalan sukar ini.
Untuk itu saya tidak ada cara lain selain dari belajar untuk menjadi kental bersedia menghadapi apa saja yang sedang dan akan berlaku sehinggalah malaikat maut datang menunaikan tugasannya terhadap saya.
Ini apa yang saya telah lalui, dan akan lalui datang dan pergi silih berganti sebagai seorang usahawan.
Dan saya yakin anda yang lain juga sama macam saya:
1.    Tak cukup duit – Ini antara yang sering berlaku pada usahawan. Duit sentiasa saja tidak mencukupi dalam apa keadaan sekalipun. Terlalu banyak yang nak dilakukan tapi duit sentiasa tak cukup. Teramat jarang usahawan berada dalam situasi duit berlebihan sampai tak tau arah nak buat apa. Usahawan sering lupa bahawa dalam keadaan merasakan tak ada duit itu perniagaan tetap membesar jika dia berusaha.

2.    Jualan merudum – Sekali sekala jualan akan menurun samada disebabkan masalah dalaman atau luaran. Jika semua luaran ok, dalaman pula buat hal. Begitulah sebaliknya bila dalam semua ok ekonomi pulak tak memberangsangkan.

3.    Pekerja bagus berhenti – Sebagai usahawan, kita sentiasa berusaha agar pekerja yang baik dan banyak membantu perniagaan naik kekal selama mungkin dalam syarikat. Tapi ada kalanya ada orang lain yang sanggup tawarkan apa yang tidak mampu kita berikan. Kala itu terpaksa terima saja dengan rasa terkilan. Lepaskan saja dan doakan agar mereka berjaya.

4.    Hilang pelanggan penting – Kalau boleh biarlah pelanggan penting kekal dengan syarikat kita sampai bla-bila. Tapi akan berlaku juga saat di mana pelanggan penting dan paling banyak menyumbang pada kewujudan syarikat meninggalkan kita. Mungkin disebabkan salah sendiri atau mungkin disebabkan terpaksa. Usahawan boleh hilang akal bila jadi begini !

5.    Pelanggan besar tak dapat bayar – Bila dapat tempahan dari pelanggan besar semua usahawan akan gumbira !. Tentu tempahan mereka juga amat besar dan akan meletup hasil jualan kita. Terleka dengan keseronokan, kita dengan sesungguh hati laksanakan segala tempahan dari A sampai Z. Dan bila masa untuk tuntut bayaran tiba, mereka tak bayar… ! semua usahawan akan tersandar dalam keadaan sebegini !

6.    Perbelanjaan anda lebih besar dari pendapatan – Impian untuk melihat perniagaan membesar sentiasa ada dalam kepala. Bila jualan naik selepas usahawan berusaha mendapatkannya, keupayaan syarikat perlu dibesarkan. Kos mula meningkat. Dan tiba-tiba terperangkap dalam keadaan belanja jauh lebih besar dari  pendapatan. Keadaan ini sering membuatkan usahawan berada dalam dilema.

7.    Duit hangus pada pelaburan yang gagal – Risiko adalah mainan seorang usahawan. Jika anda tak langkah ke depan anda tak akan maju. Jika asyik nak selamat usahawan akan mundur ke belakang atau kekal tak bergerak. Dalam melalui perjalanan membina perniagaan itu, sudah pasti akan berlaku kegagalan. Jika jiwa tak kuat, fikiran akan bersedih pada benda yang dah hangus.

8.    Hutang tinggi dan anda tak mampu bayar ansuran – Cita-cita besar nak perniagaan kelihatan membesar dengan cepat, usahawan akan ambl hutang untuk laksanakan perancangannya. Sikap alpa membuatkan usahawan tak sedar mana satu fakta mana satu andaian. Bila andaian dianggap fakta, akhirnya pendapatan yang dijana tak mampu menyara hutang. Mula pening kepala tak tahu mana nak lari, pada siapa nak mengadu.

9.    Persaingan terlalu sengit – Pasaran terbuka adalah satu-satunya pilihan yang ada pada usahawan marhaen macam saya yang bukan lahir dalam dulang emas. Bila dah nama pasaran terbuka, sudah tentu sesiapa saja boleh masuk dan menjadi pesaing kita, apatah lagi ada permintaan dalam perniagaan yang dijalankan. Hanya usahawan yang kental dan sering  berusaha membezakan diri dari pesaing akan dapat terus bertahan. Tapi biasanya ia tidak akan kekal lama, akan datang pula gelombang persaingan lain.

10.  Hilang keyakinan diri – Dunia usahawan adalah dunia sunyi yang penuh dengan cabaran. Memang ramai usahawan lain tapi dunia perniagaan kita, hanya kita saja yang dapat merasakannya. Ada kalanya keyakinan mula hilang bila berbagai masalah melanda berturut-turur macam tak mau berhenti. Ketika itu, jika kita terus melangkah, ada kemungkinan akan dianggar kepala kereta api. Sedar bahawa keyakinan tengah hilang dan mencari jalan meyakinkan diri semula adalah satu kemestian.

11.  Tak tahu nak buat apa – Ada masanya masalah demi masalah melanda membuatkan usahawan jem tak tahu nak buat apa-apa. Otak tersekat dan perasaan negatif menguasai fikiran. Jika tak pandai sembunyikan pada para pekerja, mereka boleh hilang kepercayaan pada syarikat. Mesti pandai sorokkan keadaan sebegitu dan perlu segera pulihkannya.

12.  Hilang sabar – Ini memang sifat manusia. Sabar ketika susah mungkin ramai yang boleh lulus. Tapi sabar ketika mewah dan senang terlalu ramai yang tewas.

13.  Dibebani oleh pekerja yang tak perform – Siapa boleh baca sikap pekerja yang dia sedang temuduga?, mungkin kemahiran boleh diuji, tapi tidak pada sikap. Masa temuduga lautan api pun sanggup diharunginya (katanya), bila dah ambil, kolam renang kanak-kanakpun dia tak mahu terjun.

14.  Silap pilih rakan kongsi – Ini kes paling banyak yang berlaku pada usahawan yang ada pengalaman mulakan perniagaan dengan rakan kongsi. Malah rakan kongsi yang masuk sekerat jalanpun yang pada hakikatnya bukan pengasas akan dakwa (rasa) dia adalah pengasas syarikat. Ramai usahawan yang berakhir dengan memulakan segalanya semula secara solo akibat pengalaman pahit pilih rakan kongsi ini.

15.  Terlalu yakin berlebihan sampai hilang pertimbangan – Ini juga antara punca besar kegagalan dalam perancangan perniagaan. Tidak mengambil kira kemungkin paling buruk yang boleh berlaku mengakibatkan kita terlalu yakin berlebihan. Di kala itu sikap waspada akan mula menjadi cair.

16.  Takut buat silap lalu tak buat apa-apa – Ramai usahawan yang hanya berterusan buat perkara rutin terus menerus. Nasib baik dia akan kekal cukup makan. Silap haribulan dia semakin mengecil dan mengecil. Untuk naik maju, usahawan perlu sentiasa mencuba perkara atau teknik baru. Benda baru sudah tentu ada banyak risiko. Oleh sebab takut buat silap, maka akhirnya ramai yang tak buat apa-apa dalam jangka masa yang panjang.

17.  Semua buat serba tak jadi – Ini sering terjadi bila ditimpa masalah bertubi-tubi. Buat itu tak kena dan buat ini tak kena. Mulalah rasa apa saja yang dibuat serba tak menjadi. Jika tidak ada kawan-kawan, jika tak ada mentor, keadaan ini boleh meranapkan terus perniagaan. Malah boleh membuatkan usahawan jadi putus asa dan berenti mencuba.

18.  Dibebani masalah keluarga – Kalau usahawan dah berkahwin, jika lelaki, kadang kala akan berhadapan denga masalah isteri yang tak membantu. Jika perempuan akan hadapi masalah suami yang tak memahami. Kadang kala bisnes ok, tapi rumah tangga pula ribut. Cenburu dengan masa pasangan tertumpu pada perniagaan dan sebagainya. Kalau tak kahwin lagi, akan ada juga masalah saudara mara atau ibubapa. Sekali sekala masalah keluarga ini akan datang melanda.

19.  Dilanda krisis ekonomi – Bila tengah semangat, perniagaan nampak macam sedang meningkat dan nampak jelas hala tuju, ekonomi pulak tak menarik. Tambahan pula bila dengar ramai usahawan mengeluh ekonomi tak baik. Jika terpengaruh dan selesa untuk salahkan ekonomi lalu tunggu sampai ekonomi pulih, perniagaan akan merudum terus tak bangun.

20.  Dilanda malapetaka – Siapa tahu akan datang bencana ? tak ada siapa boleh jangkakan apa yang sedang menanti di depan. Banjir, kebakaran, gempa bumi, ribut taufan dan macam-macam lagi boleh berlaku. Walaupun kemungkinannya nipis, bencana jika datang akan habis hangus segala usahawa. Ini perlu difikirkan juga dan ambil langkah bijak untuk menghadapinya jika ada.

21.  Polisi kerajaan bertukar – Ini sama juga macam bencana. Tapi bagus sikit sebab biasanya boleh dapat tahu jika usahawan melibatkan diri secara serius dengan perkembangan industri yang diceburinya. Biasanya polisi berubah, melibatkan kos perniagaan yang tinggi untuk mengikuti perubahan yang ada. Mana nak cari duit kalau tidak ada peruntukkan kecemasan.

22.  Banyak lagi…



Kredit: Blog Shubhi tahun 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan