Apabila kita telah menjalankan aktiviti pendapatan sampingan (atau pasif),
kita seharusnya bersedia dengan cara menguruskan pendapatan sampingan
tersebut.
Cara-cara menguruskan pendapatan sampingan sangat bergantung kepada Mindset
kita atas pendapatan sampingan itu. Adakah kita mahu ia menjadi sekadar wang
poket atau lebih lagi.
Dengan sasaran tersebut, kita akan membina satu mindset menguruskan
pendapatan sampingan yang seterusnya membina cara dan gerak kerja yang menjurus
kepada sasaran mindset tadi.
Terdapat 3 mindset dalam menguruskan pendapatan sampingan iaitu:
1) Mindset ‘Wang Poket’
Ramai yang memulakan aktiviti pendapatan sampingan demi mencari duit poket
setiap bulan. Ia sekadar memenuhi masa lapang daripada terbazir begitu
sahaja.
Biasanya golongan pesara kerajaan dan juga pekerja profesional yang semakin
banyak masa terluang yang mempunyai mindset sebegini.
Pada mereka, adalah lebih baik mereka buat sesuatu yang mendatangkan hasil
berbanding duduk sahaja di rumah tidak berbuat apa-apa. Jika kerap melepak
dengan rakan-rakan pun lama-lama jemu juga.
Mereka dengan mindset ini memang tidak bercita-cita besar dalam aktiviti
pendapatan tambahan mereka. Malah, mereka mungkin jatuh jadi culas dan lalai
dalam bekerja.
Gerak kerja untuk mindset ini adalah santai dan tidak stress. Maka akibatnya
hasil kerja jadi tidak stabil. Kadang-kadang cepat dan berkualiti, namun lebih
kerap sekadar dapat dihantar sahaja.
Mereka juga tidak berkira bab bayaran dan mudah menerima penangguhan
pembayaran. Ini kerana mereka bukan bergantung hidup pada pendapatan sampingan
tersebut.
2) Mindset ‘Berniaga’
Ramai juga yang memulakan aktiviti pendapatan sampingan yang bermula dengan
mindset pendapatan tambahan melihat aktiviti tersebut berpotensi besar. Maka
mereka menyasarkan untuk berhenti kerja makan gaji dan bekerja sendiri sepenuh
masa.
Mereka menyusun gerak kerja aktiviti pendapatan sampingan dengan pandangan
yang sedikit jauh, sehingga mereka mampu untuk berhenti kerja. Bermaksud
sekurang-kurangnya mereka ada simpanan 6 bulan belanja bulanan dan aktiviti
pendapatan sampingan mereka sudah memberi pulangan yang sama nilai dengan gaji
bulanan mereka.
Ini adalah mindset ‘berniaga’, iaitu jual-beli sebagai sumber
pendapatan. Secara mudahnya, mereka menukar daripada bekerja makan gaji dengan
majikan kepada bekerja sendiri sepenuh masa. Setiap wang ringgit yang diterima
telah dikira agar cukup untuk belanja bulanan.
Inilah perangkap mindset berniaga. Kita hanya menerima pulangan apabila kita
usaha. Bekerja sendiri sama sahaja dengan bidalan kais pagi makan pagi, kais
petang makan petang. Cuma bezanya adalah mungkin sekali kais boleh makan
seminggu atau lebih.
Satu kelemahan mereka yang melompat daripada pendapatan sampingan kepada
berniaga adalah mereka tidak melihat lebih jauh lagi, iaitu melihat dengan
mindset Membina Bisnes. Akibatnya mereka terperangkap dalam bisnes mereka
sendiri.
Mereka bekerja untuk bisnes mereka, bukan bisnes mereka bekerja untuk
mereka.
3) Mindset ‘Membina Bisnes’
Apa beza antara ‘berniaga’ dan juga ‘membina bisnes’? Bukankah kedua-duanya
sama, memberi pulangan wang ringgit hasil transaksi jual-beli?
Ya, dari sudut transaksi, ia sama sahaja. Perbezaan paling ketara adalah
mereka dengan mindset ‘membina bisnes’ menyusun gerak kerja agar pendapatan
sampingan mereka mampu bergerak secara automatik tanpa keringat mereka
sendiri.
Mereka lebih rela menerima pulangan yang sedikit asalkan mereka tidak perlu
mengangkat tulang empat kerat sendiri menjalankan aktiviti jual-beli
tersebut.
Apabila kita ada mindset membina bisnes, secara automatik kita tidak lagi
fokus kepada jualan semata-mata. Kita akan nampak aktiviti pendapatan sampingan
kita sebagai makmal eksperimen dalam menghasilkan mesin duit yang efisen.
Mindset ‘Membina Bisnes’ akan membuatkan kita fokus pada SOP, pengurusan
risiko, dan dokumentasi yang lengkap. Persis sebuah syarikat korporat yang
berdaya saing.
Kerana itulah, mereka yang daripada mula menjalankan aktiviti pendapatan
sampingan dengan mindset ini lebih tenang, dan lebih cemerlang dalam membuat
keputusan tentang bisnes mereka.
Antara ketiga-tiga mindset tersebut, Wang Poket, Berniaga dan Membina Bisnes,
tiada satupun sebenarnya pilihan yang salah. Ketiga-tiganya betul jika kita
sedar tentang akibat daripada memilih mindset tersebut.
Yang jadi salah adalah apabila kita tidak sedar dan tidak fokus pada
satu-satu mindset, yang mana ia akan membawa kepada kekecewaan. Apabila kita
tidak sedar kita memilih mindset yang mana satu, kita akan kerap membandingkan
kecemerlangan orang lain, walhal mereka mempunyai sasaran yang berbeza akibat
mindset yang berbeza.
Tetapkan satu mindset yang kita ingin fokus dalam aktiviti pendapatan
sampingan kita.
Kredit: http://www.majalahniaga.com/3-mindset-menguruskan-pendapatan-sampingan.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan