Isnin, 11 Februari 2019

Tips memilih mentor

May 02, 2016 — Penulis: Tim Majalah Niaga

Kategori: Artikel

Seorang usawahan yang berjaya, mereka mungkin tidak akan mencapai tahap kejayaan yang membanggakan sekiranya tidak ada mentor di sebalik kejayaan mereka. Mentor merupakan orang yang berpengalaman dalam sesuatu bidang dan mereka juga sering dijadikan contoh oleh orang ramai untuk berkongsi pelbagai ilmu.
Selain itu, mereka juga membantu anda untuk memulakan kerjaya sehingga berjaya. Jadi, bagaimana anda memilih mentor di sepanjang kerjaya anda juga memainkan peranan yang penting. Berikut merupakan beberapa perkara untuk anda memilih mentor yang terbaik.
#1 – Mempunyai Semangat Yang Tinggi
Mentor yang terbaik adalah mereka berminat dengan apa yang mereka lakukan dan sentiasa mempunyai semangat yang tinggi untuk mencapai sesuatu matlamat. Selain itu, mereka juga percaya setiap usaha yang dilakukan tanpa berputus asa walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan dan dugaan, pasti akan membuahkan hasil yang terbaik. Apabila sudah mencapai kejayaan, mereka mahu berkongsi kegembiraan itu dengan anda dengan berkongsi ilmu yang ada.

#2 – Sentiasa Ingin Mencapai Kejayaan
Apabila anda bijak memilih mentor sebagai tulang belakang kejayaan, secara tidak langsung anda juga turut menjadi seperti mereka. Banyak faedah yang boleh anda dapati sekiranya anda mempunyai hubungan yang baik dengan mentor. Namun, seorang mentor yang baik mereka sentiasa mempercayai setiap kebolehan yang anda lakukan dan bangga dengan setiap pencapaian anda. Mereka juga percaya yang anda mempunyai potensi yang baik untuk berjaya di masa hadapan.
#3 – Sering Memberi Inspirasi
Jika anda ingin mencari mentor yang terbaik, penting untuk anda melihat dahulu latar belakang mereka. Namun, seorang mentor yang terbaik adalah mereka yang mempunyai rekod prestasi yang cemerlang terutamanya dalam bidang kerjaya. Mereka juga sering digelar pemimpin yang dihormati untuk dijadikan contoh kepada orang lain. Dengan itu, ia juga dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk menjadi seperti mereka.


 #4 – Tidak Memandang Rendah Kepada Orang Lain
Semua orang sedia maklum, memandang rendah kepada orang lain merupakan perkara negatif yang patut kita elakkan. Seorang mentor tidak sepatutnya mempunyai sikap yang sebegini kerana, mereka seharusnya membimbing mereka yang ingin memulakan perniagaan. Selain itu, dengan sikap yang akan membuatkan orang disekeliling merasa selesa apabila berkomunikasi antara satu sama lain.
#5 – Memberi Komitmen
Dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan, penting untuk kita memberi komitmen yang sangat tinggi untuk sentiasa fokus dan menunjukkan kita mempunyai dispilin yang bagus dalam setiap tugasan. Begitu juga kepada mentor, kerana mereka sering dianggap seorang individu yang hebat dan dapat dijadikan contoh kepada orang lain. Anda perlu bijak untuk memilih mentor yang terbaik bagi memastikan apa yang anda impikan menjadi kenyataan.

#6 – Tidak Terlalu Mengawal
Sebagai seorang manusia, sudah tentu kita merasa kurang selesa apabila segala idea mahupun keputusan dilakukan oleh orang lain. Tugas seorang mentor hanya memberi tunjuk ajar, dan selebihnya ia bergantung kepada diri kita sendiri bagaimana kita mahu membuat keputusan yang terbaik. Apa yang perlu anda lakukan adalah, rajin untuk bertanya tentang beberapa perkara yang kurang jelas, dan cuba untuk mencipta idea-idea anda sendiri.

#7 – Positif
Individu yang positif merupakan individu yang disenangi oleh orang ramai. Begitu juga dengan mentor, mereka harus menjadi seorang pendengar yang baik, lebih berfikiran terbuka, sentiasa jujur dan sering memberikan maklum balas yang baik apabila berkomunikasi dengan anda.

#8 – Profesional
Seorang mentor yang baik adalah mereka yang sentiasa dijadikan contoh kepada orang lain. Antaranya adalah, menunjukkan peribadi dan sikap yang baik dan positif serta tidak terlalu meninggi diri disebabkan kejayaan yang dicapai. Mereka juga tidak melibatkan masalah peribadi dalam kerja, dan secara tidak langsung dapat membuatkan mereka seorang yang sangat profesional dalam pekerjaan.

 Kredit: Blog Tim Majalah Niaga


Apa yang anda perlu tahu tentang mentor
By Shubhi | 03/12/2014
Semua orang nak berjaya. Jika anda salah seorang yang sering masuk ke blog hidupringkas.com ini, saya yakin anda juga salah seorang calon yang mahu menempa kejayaan dalam hidupnya.
Apa hubungan kejayaan seseorang dengan mentor?
Apakah untuk berjaya kita wajib ada mentor?
Saya tak pasti samada boleh kalau kita katakan untuk berjaya perl ada mentor. Apa yang boleh saya katakan hanya satu sahaja.
“Kesemua orang yang berjaya biasanya pasti ada mentor…”
Timbul pula persoalan samada semua orang yang ada mentor pasti berjaya?
Saya yakin jawapannya adalah tidak.
Bukan semua orang yang ada mentor mesti berjaya. Ia sebenarnya bergantung kepada, bagaimana usaha yang dibuat untuk mencari mentor yang betul dan bila dah dapat apakah perkara yang perlu dibuat dengan adanya mentor.


Apa yang anda perlu tahu tentang mentor?
Berikut saya kongsikan apa yang anda perlu tahu tentang mentor.
1.  Mentor sebenar akan membimbing dan membantu anda menjalani kehidupan samada kerjaya atau perniagaan.
2.    Mentor memberikan panduan atau jalan yang betul untuk dilalui.
3.    Paling penting, mentor sentiasa memberikan sokongan moral agar anda terus bangun dan berjalan dikala anda jatuh rebah ke bawah.
4.    Mentor secara senyap membuatkan anda rasa bersemangat dan rasa keinginan untuk mengikuti jejak langkah kejayaannya.
5.    Secara tak langsung, mentor mestilah seorang yang anda rasa kagum dan tahu bahawa dia adalah seorang yang berjaya.
6.    Mentor bukanlah seorang yang kerjanya sekadar nak ambil hati anda.
7.    Mentor tak kisah utuk menakutkan-nakutkan anda kerana itulah realiti sebenar kehidupan.
8.    Mentor tahu kehidupan sebenar tidak pernah bermula dan berterusan dengan kesenangan. Hidup ada pasang dan surutnya dan kita perlu sesuaikan diri untuk hidup dalam keadaan itu.
9.    Mentor sentiasa memberikan nasihat yang ringkas tetapi amat jelas. Kerana dia tahu apa yang dia cakapkan.
10.  Mentor lebih berminat mengajak anda kembali kepada perkara asas kerana itulah perkara yang penting untuk difahami.
11.  Jika anda bijak, anda akan mencari mentor yang lebih tua daripada anda.
12.  Biasanya mentor yang bersyukur dengan kehidupannya lebih baik dan berkesan bimbingannya.
13.  Jika anda sendiri tak jelas dengan apa yang anda mahu dan tak ada usaha untuk mencari jalan untuk pergi ke situ, sehebat manapun mentor, tak akan dapat membantu anda.
14.  Antara perkara paling bodoh yang boleh anda lakukan pada seorang mentor adalahmembuang masanya. Jadi pastikan anda tak buang masa mentor dengan berborak perkara yang sia-sia dengannya.
15.  Salah satu perkara yang boleh membuatkan anda membuang masa mentor adalah bertanyakan soalan yang pasangan anda sendiri boleh menjawabnya. Contohnya seperti… “boss saya nak berniaga, nak berniaga apa ya?”, atau ” boss, saya nak berniaga tak ada duit, mana nak cari ya…?”.
16.  Jika anda sendiri dah bersUngguh-sungguh buat kerja dan mencari jalan untuk mencipta kejayaan, ramai mentor yang secara sukarela, suka untuk membantu anda.
17.  Jika anda harap mentor yang tolong buat kerja untuk anda, dah lah dia ambil masa memberikan sokongan dan nasihat pada anda, anda benar-benar membuang masa mentor yang anda ada.
18.  Antara kegemaran mentor adalah mereka yang dah buat berbagai cara untuk pergi ke depan dan masih bertemu jalan buntu, mentor sentiasa bersemangat untuk menunjukkan jalan yang mungkin anda tak pernah cuba atau tak terfikir untuk mencuba. Kalau setakat cuba satu benda, baru sekali dua dah kata buat macam-macam, lalu luahkannya pada mentor… sekali lagi anda buang masa mentor yang anda ada.
19.  Anda tak perlu buat surat permohonan untuk minta seseorang jadi mentor. Malah anda tak perlu sebutpun perkataan mentor itu padanya.
20.  Sekali lagi… tolong tanya soalan yang baik dan bernas kepada mentor, jangan tanya mentor bagaimana nak dapatkan lesen perniagaan atau tak perlulah tannya mentor GST tu apa ya…? anda tak perlukan mentor untuk dapatkan jawapan pada semua soalan sebegitu !
21.  Jangan setiap kali terhantuk baru mengelabah nak cari mentor. Pastikan perubahan positif dan kejayaan yang berlaku juga membuatkan anda bersemangat untuk bertemu dan kongsikan dengan mentor. Mentor bukan tempat anda mengadu masalah semata-mata.
22.  Kekalkan perhubungan dengan mentor, jangan kerap dan jangan lama. Sekurang-kurangnya berhubunglah setahun sekali, kalau mentor ada masa berhubung sekejap sebulan sekali. Tak payahlah calI mentor sehari 3 kali.
23.  Sekali lagi… jangan lah buang masa sekadar jumpa dan bertanya padanya ‘macam mana nak buat benda ni ya…? sedangkan anda tak mulakan atau langsung tak mencubanya lagi.
24.  Ingat! tak guna cari mentor untuk membantu anda sedangkan anda tak pernah berusaha untuk membantu diri anda sendiri….

Apa yang anda perlu tahu tentang mentor ini saya tulis sebagai peringatan buat diri saya sendiri, mungkin juga ianya berguna pada anda jikalau anda sendiri sedang mencari atau ada mentor yang sudi membimbing kehidupan dan kerjaya anda.

Sumber: Blog Shubi Tahun 2014


Tiada ulasan:

Catat Ulasan